Pengalaman di BCM
Oktober 26, 2022 2022-11-02 14:08The BCM Experience
Pengalaman di BCM
Sebagai seorang pelajar BCM, anda akan diperkaya dalam setiap bidang kehidupanmu apabila anda bertumbuh di dalam iman.
Dengarkan daripada beberapa orang pelajar kami yang berkongsi Pengalaman BCM mereka sendiri.
Derick Wong
Bagi saya, salah satu sebab mengapa kehidupan di kampus itu indah adalah kerana saya dapat menjalani kehidupan bersama-sama dengan sekumpulan orang yang sefikir, sama ada semasa belajar, melayani, atau hanya bersantai.
Akan tetapi, separuh jalan dalam pengajian saya, terjadilah pandemik global dan negara telah dikenakan perintah berkurung. Banyak perkara perlu diubah suai dan oleh itu, saya terpaksa menukar status saya menjadi menjadi pelajar sambilan. Kuliah-kuliah telah diadakan secara online dan banyak aktiviti dihadkan. Waktu itu sememangnya mencabar namun dengan pertolongan Tuhan, saya berjaya mengharunginya.
Pengalaman yang saya perolehi di BCM telah membantu membentuk perwatakan saya sebagai seorang peribadi dan mengembangkan kecekapan saya sebagai seorang hamba Tuhan. Kursus-kursus akademik telah melatih minda saya untuk berfikir secara kritis dan meluaskan perspektif saya.
Pelayanan-pelayanan praktikal telah memperhalusi kemahiran saya, menjadikan saya lebih berkesan dalam melayani TUHAN. Melakukan kerja-kerja yang kelihatan remeh telah membentuk perwatakan saya untuk menjadi seperti Kristus. Melakukan aktiviti-aktiviti riadah telah mengekalkan tubuh badan saya dalam keadaan sihat. Persahabatan yang telah terjalin pula menjadi sistem sokongan yang kuat bagi saya di kala waktu susah.
Yang terpenting, perjalanan saya bersama Tuhan telah mengalami terobosan yang luar biasa. Saya menjadi lebih akrab dengan Tuhan. Kesukaan saya kepada Firman Tuhan telah bertambah dan kehidupan doa saya bertambah baik. Saya telah memperolehi pemahaman yang lebih mendalam dan lebih kaya tentang Tuhan. Iman saya kepada Tuhan menjadi lebih kuat.
Secara keseluruhannya, BCM telah banyak memberi kesan kepada kehidupan saya dan menjadi tempat di mana seseorang boleh bertumbuh secara holistik. Semoga Tuhan terus menggunakan BCM untuk memperlengkapi umat-Nya, untuk melakukan kehendak-Nya, bagi kemuliaan-Nya!
Christal Lee
Kursus-kursus dan latihan yang ditawarkan oleh BCM adalah menyeluruh. BCM menyediakan latihan yang holistik untuk memperlengkapi pelajar dalam bidang teologi dan kemahiran kepimpinan, di samping membentuk karakter dan tingkah laku kita dalam disiplin-disiplin rohani.
Saya telah menikmati kebaktian-kebaktian di kapel BCM selama ini. Saya telah mendengar firman Tuhan di sampaikan oleh para penceramah yang berbeza, dan telah belajar serta didorong oleh kehidupan dan pelayanan mereka. Peluang yang diberikan kepada pelajar untuk berkhutbah dalam kebaktian di kapel telah membantu saya menimba pengalaman dan mempertajamkan kemahiran berkhutbah sebelum saya masuk ke dalam pelayanan.
Hasil daripada program kaunseling, saya telah beroleh keupayaan untuk melayani jemaat di gereja saya apabila mereka menghadapi kesukaran atau masalah dalam kehidupan peribadi mereka — dahulu atau sekarang. Dan yang lebih berharga lagi, saya telah bertumbuh untuk mengenali diri dengan lebih baik melalui kursus-kursus tersebut. Saya telah sembuh secara jasmani dan rohani daripada trauma yang saya alami semasa kecil dan saya telah belajar untuk menerapkan penjagaan diri bagi menguruskan tekanan hidup dengan lebih baik.
Ketika meluangkan saat teduh dengan Tuhan dalam persekitaran semula jadi, saya gemar duduk di atas buaian, menyembah Tuhan dan menunggu-Nya, dan mendengar daripada-Nya. Ini membantu saya membangunkan kehidupan yang berdisiplin dan membina hubungan yang akrab dengan-Nya. Pencerahan yang saya kongsikan dalam khutbah berasal terutamanya dari pengalaman peribadi saya bersama Tuhan. Pasukan Pelayanan (Ministry team) dan lawatan misi adalah beberapa perkara kegemaran saya tentang BCM, kerana semuanya memberi saya peluang untuk melayani di gereja-gereja di Malaysia dan juga di luar negara.
Salah satu berkat terbesar yang saya perolehi di BCM ialah sokongan daripada para pensyarah dan persahabatan yang saya bina dengan sesama pelajar. Di seminari, saya melihat orang melayani, bertumbuh, belajar, dan mengasihi satu sama lain, tanpa mengira jabatan bahasa. Hidup dalam komuniti kediaman dan berdoa bersama adalah sesuatu yang menyeronokkan saya sebagai seorang pelajar. Kami ketawa dan menangis bersama, dan kami meraikan kehidupan bersama dan mendukung satu sama lain.
Terima kasih BCM kerana mempersiapkan saya untuk menjadi berkat kepada orang lain.
Jesslyn Ong
Pelajar sepenuh masa mendapat peluang untuk terlibat dalam pelbagai jawatankuasa, untuk berkhutbah dan melayani dalam kebaktian di kapel, serta mengambil bahagian dalam lawatan misi. Walaupun orang mungkin melihatnya sebagai tekanan dan beban tambahan, melalui platform itulah saya memperolehi banyak pengalaman praktik, dan ia mendorong saya untuk keluar dari zon selesa dan menyahut cabaran satu demi satu, dan para pensyarah juga membimbing saya sebagai mentor semasa saya bertumbuh di BCM.
Sebagai pelajar sepenuh masa, saya juga mendapat pengalaman penuh dalam bersahabat dengan pelajar-pelajar lain di kampus. Ia telah mengajar saya pentingnya persahabatan, dan betapa pentingnya untuk mempunyai kumpulan sokongan di lapangan pelayanan.
Orang mungkin berkata “pelayanan adalah perjalanan yang sepi,” tetapi saya berkata, “ia tidak semestinya begitu.” BCM telah mengajar saya untuk menjadi terbuka dan mempelawa orang lain untuk berjalan bersama saya begitu saya berjalan di jalan pelayanan sepenuh masa. Memandangkan teman-teman yang saya temui di BCM juga adalah rakan seperjuangan dalam pelayanan, mereka juga berjalan di jalan yang sama seperti saya.
Walaupun kami mungkin tidak lagi bertemu sekerap dahulu, kami tetap menghargai detik-detik persahabatan dan pertumbuhan yang kami alami bersama di BCM sehingga ke hari ini. Apabila berlaku pasang surut dalam pelayanan, walaupun ketika kehidupanmu bergelora, ada orang tempat saya mengadu, orang-orang yang memahami perjalanan tersebut, kerana kami sama-sama berada di dalamnya.
Perjalanan itu tidak seharusnya menjadi perjalanan sepi jika anda adalah sebahagian daripada komuniti yang berada di sana untuk memberi motivasi dan mendukung satu sama lain, untuk meraikannya bersama ketika berada di puncak tertinggi, dan untuk menangis bersama ketika berada dalam titik terendah. Ikatan dan kasih yang saya terima dalam komuniti ini juga memberi inspirasi kepada saya untuk membina ikatan seperti itu dalam pelayanan saya.
Saya ingin mengakhiri kesaksian ini dengan rangkap kegemaran kami dari Nyanyian BCM.
And when we asunder part Bearing light to the lost of our land We shall still be joined in heart BCM far or near one band
[Dan apabila kami berpisah
Membawa cahaya kepada orang yang sesat di negeri kita
Kami akan tetap bersatu dalam hati
BCM jauh atau dekat satu pasukan]